Thursday, July 23, 2009

GADOH : Aku Bangsa Malaysia



Semalam bertempat di Studio Pancha Delima, UiTM Kampus Puncak Perdana telah berlangsung sesi tayangan filem Gadoh yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelajar. Filem berdurasi 70 minit ini merupakan antara usaha yang dijayakan bersama oleh KOMAS dalam pelaksanaan kempen Aku Bangsa Malaysia.

Komentar dari segi penghasilan filem ini, dapat saya katakan naskhah skrip ini baik dan 'sampai' untuk menyampaikan matlamat cerita dan membuka mata penonton. Penggunaan dialog-dialog yang 'catchy', selamba otai dan lebih realis mendekatkan lagi khalayak penonton dengan jalan cerita yang dibawakan, yakni golongan remaja secara amnya.

Saya bersetuju dengan salah satu pendapat yang mengatakan bahawa penyuaraan mesej tidak lagi boleh dilakukan dengan cara halus. Pendekatan melalui paparan yang baik-baik sahaja akan menjadikan sesebuah filem itu kelihatan hipokrit kerana menyembunyikan perkara jelik yang tersembunyi di sebalik kenyataan yang dapat dilihat secara luaran sahaja.

Saya mengerti bahawa penggunaan istilah-istilah kasar dalam bait dialog filem ini bukanlah bertujuan memperluas penggunaan kata-kata carutan dalam percakapan seharian, apatah lagi untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak (offensive). Tidak sama sekali.

Penonton harus faham perkara-perkara kecil sebegini. Pendekatan secara nyata dan jujur dalam filem adalah lebih baik dan berkesan untuk tujuan mendidik (nota tambahan: pendidikan melalui paparan unsur negatif supaya tidak dicontohi adalah lebih efektif berbanding didikan lembut yang bagaikan mencurah air ke daun keladi).

Walau bagaimanapun, dari sudut teknikalnya, saya dapat merasakan kelonggaran plot filem ini dalam perjalanannya menghampiri klimaks hingga ke pengakhiran cerita. Dapat saya katakan bahawa saya mengharapkan titik klimaks yang lebih mengesankan daripada babak lakonan persembahan akhir watak-watak Khalil, Heng dan rakan-rakan, namun jangkaan itu tidak sampai seperti mana yang saya inginkan.

Penamat cerita juga dijadikan begitu mudah sekali; walaupun matlamat cerita masih tercapai, namun seperti tidak cukup rasanya sekadar melihat Cikgu Azman bersama kumpulan pelajar kelab teaternya berpelukan sesama mereka meraikan kejayaan persembahan yang dipentaskan. Pengakhiran ceritanya bersifat down-ending.

Mungkin kelemahan ini dapat diperbaiki pada masa akan datang. Namun begitu, saya cukup tertarik dengan olahan visual melalui shot yang menarik dipaparkan dari segi pergerakan kamera --> paling saya gemari : high angle camera shot yang banyak digunakan dalam filem ini. Selain itu, mutu lakonan setiap watak juga harus diberikan pujian. Setiap watak dalam filem ini di-portray dengan baik sekali serta turut membantu memperkembang jalan cerita dalam peningkatan plotnya.

Secara peribadi saya amat mengagumi usaha yang dikeluarkan oleh pengarah bersama filem ini iaitu saudari Brenda Danker dan saudara Namron yang berani menghasilkan filem dengan isu bangsa yang cukup bersifat sensitif, provokatif dan sinikal pada masa yang sama. Tujuan dan matlamat murni disandarkan; untuk membuka mata para penonton seluas-luasnya tentang isu bangsa, ketuanan Melayu, hak kesamarataan bangsa dan rasa hormat menghormati sesama kaum dengan menerima secara total rakyat negara ini sebagai satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Soal kehormatan kaum, hak kepentingan bangsa masing-masing, siapa yang lebih berkuasa, siapa golongan majoriti mahupun minoriti dan isu-isu seumpamanya haruslah diketepikan daripada terus mengaburi mata kita.

Pelbagai isu ini ditimbulkan dalam sesi Q&A yang begitu hangat diperdebatkan selepas tayangan filem. Penglibatan secara aktif oleh para pelajar amat membanggakan dan menunjukkan sejauh mana filem Gadoh teleh memberi impak kepada penerimaan dan persepsi individu sebelum, semasa dan selepas tayangan filem diadakan.

Kepelbagaian pendapat itu sememangnya penting. Namun lucu juga apabila ada sebilangan pelajar yang lantang berdiri dan menyuarakan pendapat mereka secara terbuka, tidak kira sama ada menyokong atau menentang isu penyatuan bangsa yang dibawakan dalam filem Gadoh.

Perdebatan antara pelajar bersama pengarah, pelakon dan tenaga produksi ini saya lihat sebagai satu perdebatan yang sihat dan bagus juga, sekaligus membuktikan pelajar UiTM tidak semestinya punya pendapat yang sama.

Pasti hambar pula jika semua penonton menerima sahaja mesej dan pendirian pembikin filem ini secara total tanpa bangkangan mahupun pertikaian. Sekurang-kurangnya apabila bangun satu dua mereka ini menyuarakan pendapat yang kontra dan berbau provokatif, suasana perdebatan yang berlangsung itu akan lebih terasa meriahnya dan audiens yang lain juga boleh menimbang tara buruk baik pendapat-pendapat yang berbeza ini. Cuma kadang kala kita harus juga menerima pendapat lain yang dipersetujui secara majoriti. Apabila tetap terus menegakkan benang yang basah, pasti terasa aneh dan lucu pula dilihat oleh khalayak penonton yang lain.

* Syabas.


~0^_^0~

No comments:

Post a Comment