Program Film Screenings di Studio Pancha Delima, Bangunan Akademik, UiTM Kampus Puncak Perdana anjuran Film Screening Club, Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, UiTM meneruskan lagi hidangan filem-filem pilihan yang menarik dari sinema Asia Tenggara. Antaranya adalah Cyclo (dari Vietnam) dan sebuah filem Indonesia, Mengejar Matahari. Pada hari Rabu (25 Mac) akan diadakan tayangan khas dokumentari terbaru arahan Amir Muhammad Malaysian Gods (2009) berserta sesi soal-jawab bersama pengarahnya selepas tayangan.
Filem Cyclo (1995) diarahkan oleh pengarah terkenal sinema Vietnam kontemporari Tran Anh Hung yang sebelum ini telah menaikkan sinema Vietnam di peringkat antarabangsa dengan filemnya The Scent of Green Papaya (1993) yang telah mendapat penghargaan untuk kerja kamera di Festival Filem Cannes, Perancis dan juga telah dicalonkan untuk anugerah Akademi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik. Cyclo berlatarkan Hanoi era 1990-an yang penuh dengan pelbagai kemelut. Seorang pengayuh beca kehilangan basikalnya dan terpaksa menanggung beban hutang kepada wanita yang menyewakan basikal kepadanya. Wanita tersebut menyerahkan pengayuh beca tersebut kepada seorang gengster dan bapa ayam hingga dia dipaksa melakukan vandalisme dan kerja-kerja ‘kotor’ untuk melangsaikan hutangnya. Lebih teruk lagi adik perempuannya dipaksa oleh gengster tersebut untuk menjadi pelacur melayani pelanggan-pelanggannya yang kaya-raya yang membayar dalam dolar Amerika Syarikat. Filem ini boleh menjadi sebuah melodrama biasa tetapi Anh Hung menanganinya dengan pendekatan yang berbeza. Fokusnya dalah kepada warna dan silence bila mana kameranya galak merakam watak-wataknya dengan memberi lapisan nuansa emosi yang terperinci dan pelbagai. Plotnya bermula seperti filem Itali The Bicycle Thief arahan Vittorio De Sica tetapi Cyclo tidak didekati secara neo-realis. Malah, tone filem ini lebih terarah kepada realisme magis. Banyak moments dan visual yang ‘cantik’ memaparkan kisah tentang korupsi, lost innocence, keganasan, dadah, dan kematian. Pengkritik filem Amerika terkenal, Jonathan Rosenbaum dalam ulasannya terhadap filem ini (1997) mengatakan: “Part of Cyclo’s voluptuous mystery is that it unravels simultaneously like a documentary and an expressionist or surrealist vision […] It’s impossible to determine where physical reality leaves off and metaphysical unreality begins; with the camera often in continual motion, a scene can begin on one plane of reality and end on another.” Filem Cyclo telah mendapat beberapa penghargaan di beberapa buah festival filem antarabangsa, antaranya: Hadiah Grand Prix di Flanders International Film Festival, 1995 dan anugerah Golden Lion dan hadiah FIPRESCI di Venice International Film Festival, 1995.
Tayangan seterusnya adalah filem Indonesia arahan pengarah terkenal sinema Indonesia kontemporari Rudy Soedjarwo, Mengejar Matahari (2004). Filem ini membariskan pelakon-pelakon seperti Wingky Wiryawan, Fedi Nuril, Udjo Project Pop, Fauzi Baadilla dan beberapa lagi. Rudy sebelum ini telah menghasilkan beberapa buah filem yang menarik dan mendapat sambutan hangat seperti Ada Apa dengan Cinta, Tentang Dia, Sembilan Naga, Mendadak Dangdut, Bintang Jatuh, Rumah Ketujuh, dan banyak lagi. Mengejar Matahari membawa kisah persahabatan dan semangat setiakawan di antara Ardi, Nino, Apin dan Damar di kawasan ghetto di Jakarta yang teruji bila mereka meningkat dewasa. Satu hari mereka melihat Obet membunuh seorang kanak-kanak lalu melaporkannya kepada polis. Perhubungan Ardi dengan seorang gadis jelita Rara menjadikan persahabatan mereka berempat berada di ambang keretakan. Obet pula mengancam kehidupan mereka. Semenjak kecil mereka mempunyai ritual bermain “mengejar matahari” di mana mereka akan berlari ke arah matahari yang terbenam, seolah-olah bagi melupakan masalah yang mereka hadapi dan merasa bebas. Filem ini juga banyak bermain dengan konsep ‘ruang’ (satu bentuk ekspresi visual Rudy yang ketara) yang memperlihatkan anak-anak remaja ini membesar bersama ‘projek apartment’ – satu usaha pengstrukturan semula ruang masyarakat urban oleh rejim New Order.
CYCLO (Tran Anh Hung, Vietnam, 1995, 120min)
24 Mac 2009 (Selasa) 8.10malam
MENGEJAR MATAHARI (Rudy Soedjarwo, Indonesia, 2004, 86min.)
26 Mac 2009 (Khamis) 8.10malam
MALAYSIAN GODS (Amir Muhammad, Malaysia, 2009, 70min)
Tayangan dan Soal-Jawab bersama pengarah Amir Muhammad
25 Mac 2009 (Rabu) 8.10malam
STUDIO PANCHA DELIMA
Bangunan Akademik
Universiti Teknologi MARA
Kampus Puncak Perdana
40150 Shah Alam
Selangor
Kemasukan Percuma. Semua dijemput hadir
No comments:
Post a Comment