Wednesday, March 25, 2009

Dewata Malaysia : Serius dalam selamba.

Ketika sesi tayangan karya mutakhir Amir Muhammad ; Malaysian Gods ataupun Dewata Malaysia, ramai antara penonton mampu tergelak dengan subjek yang dipaparkan. Ironinya, Malaysian Gods ini adalah sebuah dokumentari berbaur politik yang cuba menjelajahi nuansa kaum India yang tinggal di Malaysia, secara rambang. Yang membuahkan tarikan terhadap dokumentari ini adalah subjeknya ataupun orang yang ditemubual; marhaen-marhaen yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur. Ini adalah paparan realiti, bukan komedi.

Dalam filem Watchmen, watak The Comedian adalah watak pertama yang dibunuh, sebelum ancaman diberikan kepada adiwira-adiwira lain. Hal ini membuatkan saya terfikir, betapa komedi adalah suatu hal yang akan membawa kepada pecahan-pecahan pemikiran yang memangkin perubahan.

Dokumentari ini adalah sebuah realiti yang dikomedikan; bukan oleh sesiapa, namun kita sebagai penonton sendiri. Tiada apa yang menarik tentang sesebuah dokumentari melainkan ideanya. Rencah yang digunakan Amir cuma menggarapnya secara bersahaja (pemilihan subjek dan soalan untuk ditemuramah)-namun serius (fakta yang diberikan). Sebagai contoh, ketika seorang penjual belon menjawab secara serius, tiba-tiba dia berhenti bercerita seketika untuk memanggil pelanggan. Peristiwa ini yang membuahkan komedi, kerana penonton tidak menyangka dengan sikap penjual belon ini (saya berpendapat dia India-Muslim bukan Melayu)

Saya merasakan, apabila penonton ketawa, penonton telah ataupun sedang mencerna apa yang disampaikan Amir. Dan apabila mereka ketawa (untuk sesetengah bahagian) ia bermakna penonton telah berfikir. -Kita ketawa apabila pasangan yang ditemubual, membicarakan betapa susahnya apabila berkahwin dengan Muslim.
"Dunia adalah tragedi bagi yang merasa, dan ianya komedi bagi yang berfikir"-
Horace Walpore.
Dalam kes ini, beliau (pasangan) merasakan adalah tragedi apabila berkahwin dengan Muslim, namun kita sebagai penonton merasakan ianya komedi kerana kita berfikir apa yang diperkatakannya adalah sebuah hakikat; walaupun bukan kebenaran.

Apa yang cuba disampaikan adalah gerakan HINDRAF ini berpunca ketika reformasi tahun 1998. Nampak agak nyata. Walaupun ianya kelihatan dibuat secara selamba dengan teknik suntingan yang ringkas, ia mampu memberikan kesan pencerdasan kepada penonton. Ternyata dokumetari ini adalah mampu mencuit saya untuk menghormati dengan lebih lagi kaum India di Malaysia. Dan ia membuktikan bukan semua kaum India terlibat dengan HINDRAF dan segala macam demonstrasi jalanan. Saya menantikan sebuah dokumentari dari Amir yang ada kaitan dengan ISA secara total.

6 comments:

  1. >Apa yang cuba disampaikan adalah gerakan HINDRAF ini berpunca >ketika reformasi tahun 1998. Nampak agak nyata.

    Saya setuju dengan mendiang Tun Dr Ismail bahawa "kesilapan terbesar yang dibuat oleh orang Melayu ialah mencipta istilah 'bumiputera'." Jadi mungkin lebih tepat dinyatakan gerakan politik-etnik a la HINDRAF adalah salah satu percikan tak langsung (dan mungkin tak diduga) daripada femonena ini ;-)

    ReplyDelete
  2. fadz,
    ini cuma review..cuba saksikan sendiri..

    amir,
    ya boleh jadi.. macam butterfly effect..
    dan saya masih rasakan ada keistimewaan yang patut dikekalkan-bukan semua.

    ReplyDelete
  3. cantik gaya bahasanya.. bagus!

    ReplyDelete
  4. saya tunggu filem cereka dari amir selepas susuk

    ReplyDelete